CERITA MENGENAI PENUBUHAN MALAYSIA

ImageBanyak yang telah ditulis mengenai penubuhan Malaysia dan, pada dasarnya, pandangan dalam tulisan-tulisan ini adalah konsisten. Namun, dukacita saya nyatakan bahawa pengetahuan mengenai penubuhan Malaysia adalah pada tahap yang tidak memuaskan, terutama di kalangan golongan masyarakat muda kita. Kita tidak seharusnya mengambil mudah sejarah dan masa lampau kita kerana sejarahlah yang menentukan duduk kita pada hari ini. Kejahilan yang wujud ini adalah sangat menyedihkan dan kita harus ingat bahawa seandainya dimanipulasi dan dieksploit oleh golongan tertentu akan menjadi cukup merbahaya dan mungkin saja akan mengancam kestabilan dan kesejahteraan kita.

2. Daripada pengamatan dan penelitian saya, adalah tidak keterlaluan untuk menyimpulkan bahawa masyarakat kebanyakan yang separa umur dari Sabah dan Sarawak tidak mengetahui dengan jelas mengenai penubuhan Malaysia, apa lagi golongan masyarakat yang sama dari Semenanjung. Apa pun, satu perkara yang pasti adalah kebencian dan rasa tidak puas hati bila mana Sabah dan Sarawak dianggap dan disamakan dengan 11 negeri lain di Semenanjung. Terdapat juga isu-isu lain, tetapi yang paling sering dipersoalkan adalah mengenai salah tanggap ini. Rasa tidak puas hati ini kedengaran di awal 80an lagi tetapi tidak pernah muncul di forum-forum yang rssmi. Namun demikian, ianya tetap kekal sebagai kudis yang mempunyai potensi untuk pecah dan memberikan kesengsaraan.

3. Parlimen pada penggal ini menyaksikan usul yang dibawa oleh anggota dari Sabah untuk melihat kembali Perjanjian 20 perkara yang melibatkan Sabah. Walaupun, ianya tidak diberikan keutamaan, dan tidak dibahas, saya fikir usahanya adalah satu permulaan yang baik. Paling tidak, akan tercatat rekod mengenai isu ini selain dari menyuntik perasaan ingin tahu di kalangan anggota-anggota yang lain.

4. Semaraknya jangkauan internet dan media sosial seperti Blog dan Facebook yang mencapai ke setiap pelusuk tanah air, telah merubah keadaan. Hari ini, kebanyakan orangramai mulai sedar tentang kemarahan rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak mengenai isu ini. Rasa tidak puas hati ini akan memuncak dengan kedatangan 16 September. Rungutan mengenai janji yang tidak ditepati akan memenuhi halaman media dengan berbagai cara. Rasa tidak puas hati ini datang dari hampir semua golongan masyarakat kita, sama ada dalam bentuk tulisan, ucapan dan sebagainya. Golongan yang mewakili pertubuhan agama menyatakan pemikiran mereka dari sudut agama dan golongan bisnes (ahli perniagaan dan sebagainya) membincangkan dari perspektif ekonomi. Isu-isu yang sering diutarakan termasuklah pendidikan, hak asasi manusia dan politik.

5. Terdapat banyak rungutan dan perasaan tidak puas hati yang diluahkan, tetapi sayang ianya tidak pernah ditanggap secara serius. Lebih mendukacitakan lagi, dengan pendedahan yang berlaku dan kemudahan untuk mengakses maklumat, masih tidak ramai anggota masyarakat yang mula berjinak membelek sejarah dan mengambil tahu proses yang terjadi sehingga tertubuhnya Malaysia. Oleh yang demikian, saya berhasrat untuk memanfaatkan kesempatan ini dan memberikan perspektif yang sekomprehensif mungkin dan mudah-mudahan saya mampu untuk mencuit dan mewujudkan perasaan ingin tahu yang mendalam di kalangan hadirin sekalian. Tetapi sebelum itu, saya fikir ada baik untuk kita melihat kepada beberapa rungutan yang sering muncul.

6. Ahli akademik dari Sabah dalam penulisannya telah membuat kenyataan yang sangat mengkhuatirkan mengenai apa yang terjadi terkait dengan penubuhan Malaysia. Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia dengan kefahaman bahawa kepentingan kedua-dua negeri akan terus dipelihara. Kepentingan ini termaktub  dalam Perjanjian 20/18- Perkara, London Agreements dan Inter-Governmental Report (Jawatankuasa Antara Kerajaan [JAK]). Beliau menekankan bahawa kepentingan Sabah dan Sarawak tidak dipelihara atau dijaga dan malah diambil mudah dengan sesuka hati dan perkara berkaitan ditentukan mengikut kehendak dan keinginan Kuala Lumpur. Beliau menambah lagi dengan menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi kepada Persekutuan Tanah Melayu dalam Malaysia dan bukannya merupakan dua daripada 13 negeri dalam Malaysia. Sekumpulan ahli politik yang berasal dari Malaysia Timur dan beberapa aktivis sosial pergi lebih jauh dengan menggambarkan bahawa pelanggaran hak ini sebagai usaha  “mencuri” (memanfaatkan) kekayaan mereka.

7. Terdapat juga rungutan dari Sarawak yang memilih untuk menggambarkan permasalahan ini secara simbolik. Penubuhan Malaysia dilihat sebagai perkahwinan dengan perjanjian prenuptial, iaitu, Perjanjian 18 perkara. Beliau menjelaskan bagaimana si isteri, yakni, Sarawak, telah dikecewakan oleh si suami, Kuala Lumpur, yang tidak memberikan perhatian yang wajar,  tetapi tetap menjadi isteri yang setia, taat, berbuat baik dan bertanggungjawab.

8. Baru-baru ini, seorang ahli politik Sabah mengatakan dengan lantang bahawa Sabah adalah milik rakyat Sabah dan bukannya Malaysia kerana Perjanjian Malaysia belum dilaksanakan. Beliau berhasrat agar pelaksanaan perjanjian ini disemak semula dan pada masa yang sama menangani rasa tidak puas hati rakyat Sabah dan Sarawak. Beliau juga menyatakan bahawa Sabah telah kehilangan sebahagian besar daripada 20 Perkara yang disepakati terutama apabila keputusan yang berkaitan dengan Sabah,  diputuskan oleh Kuala Lumpur semata-mata. Lebih buruk lagi, beliau merasakan bahawa Sabah telah dilayan seperti sebuah negeri jajahan (koloni) dan bukannya sebagai rakan kongsi yang sama dalam Malaysia. Seorang Paderi Besar Sabah, yang bercakap pada Hari Malaysia 2012, mempersoalkan sama ada perjanjian yang menegakkan kebebasan dan hak-hak serta adat resam negeri dipelihara. Beliau juga dengan jelas menyatakan bahawa kesepakatan mengenai penjagaan hak-hak inilah yang meyakinkan Sabah (North Borneo ketika itu) dan Sarawak untuk membentuk Malaysia bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

9. Seorang aktivis dengan gelaran anak jati Sabah, dalam melepaskan kekecewaan beliau, tanpa berselindung menegaskan bahawa rakyat Malaysia di Semenanjung adalah salah apabila menyatakan bahawa Sabah menyertai Malaysia. Hakikatnya, Malaysia tidak pernah wujud tetapi hanya wujud apabila Sabah, bersama-sama dengan Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung dan  membentuknya. Beliau mendakwa bahawa Perjanjian 20 Perkara dan Batu Sumpah (didirikan di Keningau sebagai peringatan sokongan Sabah untuk penubuhan Malaysia dan Perjanjian 20 Perkara) tidak dihormati dan telah diketepikan oleh Kuala Lumpur. Kekesalan beliau dapat dilihat dengan kata-kata yang terluah, “Batu Sumpah dan Perjanjian 20 Perkara secara perlahan-lahan dan berterusan diremehkan dan diketepikan oleh Kuala Lumpur.”

10. Sentimen yang sama juga di utarakan oleh seorang ahli profesional dari Sarawak. Beliau malah pergi lebih jauh dengan mengatakan wajar bagi Sarawak untuk memilih keluar daripada Malaysia kerana layanan yang tidak baik daripada Kuala Lumpur yang melanggar Perjanjian 18 Perkara. Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa terdapat kebaikan untuk berada dalam Malaysia tetapi perkara yang terkandung dalam Perjanjian 18 Perkara perlu dipelihara dan dihormati.

11. Gambaran di atas adalah merupakan beberapa contoh perkara yang mengekang hubungan baik antara Sabah dan Sarawak dengan Kuala Lumpur. Isu-isu ini adalah kritikal terutama apabila dilihat dari perspektif politik wilayah yang unik kepada Malaysia. Mereka perlu diperbetulkan dan beban yang paling besar adalah kepada orang-orang yang berkuasa dan mempunyai pengaruh politik yang kuat. Hanya dengan cara ini kita akan mempasti dan mengekalkan kewujudan Malaysia yang progresif, dihormati dunia, dan membawa makna kepada anak-anak dan cucu-cucu kita.

12. Hadirin dan hadirat sekalian, untuk memulakan proses perbaikan ini, ada baiknya kita lihat kepada kejadian-kejadian yang membawa kepada penubuhan Malaysia. Saya juga berharap agar kita melihat ini dengan fikiran yang terbuka, tanpa sebarang persepsi. Kita hayati rungutan yang diluahkan tanpa sebarang prejudis dan janganlah kita cepat menyimpulkan bahawa sesuatu “perkara” itu tidak penting, tidak sesuai atau tidak relevan lagi. Sebaliknya kita lihat kepada kesemua isu dan tangani mereka dengan sewajarnya.

13. Dalam ucapan beliau pada 16 September 1963, Tunku Abdul Rahman, bercakap mengenai keputusan untuk menubuhkan satu persekutuan. Beliau mengatakan bahawa penubuhan itu dibuat dengan “hati-hati sekali dan pemikiran yang mantap.” Kesepakatan itu yang dihasilkan melalui “perdebatan dan perbincangan” serta “inkuiri dan pungutan suara yang diadakan selama dua setengah tahun.” Tunku juga bangga kerana Malaysia telah ditubuhkan “melalui kesepakatan hasil dari perbincangan dan perdebatan yang berlaku dalam suasana yang mesra dan penuh tolak ansur”. Beliau juga yakin bahawa kerjasama, kerukunan dan kesepakatan yang wujud telah didorong oleh keinginan untuk berkongsi nasib dan haluan yang sama. Jasa Tunku dan pemimpin-pemimpin lain dalam menubuhkan Malaysia mesti dihargai dan wajar untuk kita mempastikan hasrat dan keinginan serta kesepakatan yang menjadi asas kepada penubuhan Malaysia dijaga dan dipertahankan.

14. Terdahulu daripada itu, pada Mei 1961, di Hotel Delphi Singapura, Tunku telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama ekonomi dan politik yang rapat dan dikenali sebagai Persekutuan Malaysia. Antara lain, kerjasama ini akan menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Di samping itu, gagasan ini juga akan dapat mengimbangi komposisi kaum penduduk, meningkatkan (mempercepatkan) kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Cadangan ini diterima baik oleh Great Britain dan selaras dengan sikap mereka pada waktu itu untuk membebaskan kawasan jajahan mereka . Walau bagaimanapun terdapat kekhuatiran terutama mengenai kemungkinan ianya ditentang oleh pemimpin-peminpin tempatan di ketiga-tiga wilayah Borneo. Kekhuatiran ini terbukti betul apabila Sarawak United Peoples Party, Partai Rakyat Brunei dan United National Kadazan Organisation membentuk Barisan Bersatu untuk menolak penubuhan ini dengan kenyataan bahawa cadangan penubuhan ini “tidak dapat diterima sama sekali”.  Sikap yang sama juga diambil oleh Sarawak National Party dan rekod sejarah juga mencatatkan penolakan dari kalangan orang-orang di pedalaman Borneo Utara. Pada peringkat ini terdapat juga pemikiran bahawa rancangan penubuhan Malaysia adalah merupakan satu helah untuk meluaskan kuasa Tanah Melayu bagi menggantikan penjajahan British.

15. Untuk menangani penolakan ini, Tunku melawat Sarawak dan Borneo Utara pada bulan Julai dan Ogos 1961 untuk memenangi hati dan pemikiran masyarakat dengan menjelaskan secara terperinci rancangan dan manfaat penubuhan. Pada masa yang sama lawatan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dari Borneo untuk melihat sendiri keadaan di Tanah Melayu meyakinkan mereka bahawa Malaysia adalah satu idea yang baik. Di samping itu, pemimpin-pemimpin tempatan Sarawak pula telah dihantar untuk menyertai Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel yang berlangsung di Singapura. Kesempatan ini mereka ambil untuk membincangkan secara bersemuka mengenai konsep Malaysia secara lebih terperinci dengan rakan-rakan dari Tanah Melayu dan Singapura.

16. Kesepakatan mengenai penubuhan Malaysia dicapai dan pada Julai 1961 apabila pemimpin-pemimpin ini bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan oleh Donald Stephens. Jawatankuasa ini dipertanggungjawabkan untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Jawatankuasa ini bersidang selama empat kali dan di mesyuarat terakhir yang berlangsung di Singapura pada Februari 1962, Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Borneo Utara terhadap penubuhan Malaysia. Memorandum tersebut dikemukakan kepada Suruhanjaya Cobbold yang telah ditubuhkan untuk menentukan sama ada rakyat Borneo Utara dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia. Pada Jun 1962, Laporan Suruhanjaya Cobbold telah diserahkan kepada kerajaan Tanah Melayu dan British. Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80% penduduk Borneo Utara dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia.

17. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Cobbold juga melaporkan bahawa sebahagian besar penduduk, terutama di kawasan pedalaman, tidak mempunyai penghayatan sebenar mengenai konsep Malaysia. Namun, sepertiga dari mereka menyokong penubuhan dan konsep Malaysia dan berharap ianya dapat dilakukan dengan secepat mungkin. Golongan ini tidak terlalu mengambil berat tentang syarat dan terma penubuhan. Sepertiga lagi pada dasarnya menyokong penubuhan Malaysia tetapi menetapkan syarat dan perlindungan yang berbagai yang perlu ditepati. Yang selebihnya terbahagi kepada kelompok yang menginginkan kemerdekaan sebelum menubuh Malaysia dan kelompok yang ingin kekal di bawah pemerintahan British.

18. Suruhanjaya juga memberi amaran yang intinya “Malaysia harus dianggap oleh semua pihak sebagai pertubuhan rakan kongsi, menggabungkan demi kepentingan bersama untuk mewujudkan sebuah negara baru tetapi mengekalkan keunikan (keperibadian) masing-masing. Jika terdapat sebarang ide atau pemikiran yang mengarah kepada Malaysia sebagai ‘pengambilalihan’ wilayah-wilayah Borneo oleh Persekutuan Tanah Melayu dan menghilangkan keunikan (individualities) Borneo Utara dan Sarawak, maka konsep Malaysia tidak akan diterima dan berjaya.” (It is a necessary condition that from the outset, Malaysia should be regarded by all concerned as an association of partners, combining in the common interests to create a new nation but retaining their own individualities. If any idea were to take root that Malaysia would involve a ‘take –over’ of the Borneo territories by the Federation of Malaya and the submersion of the individualities of North Borneo and Sarawak, Malaysia would not be generally acceptable and successful).

19. Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) telah ditubuhkan atas syor Suruhanjaya Cobbold untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia di samping melindungi hak dan kepentingan rakyat di Borneo Utara dan Sarawak. Pada mesyuarat pertama di Jesselton pada 30 Ogos, 1962, IGC mengemukakan memorandum yang antara lain, memberikan hak kepada kedua-dua wilayah untuk mengawal urusan yang berkaitan dengan pendidikan dan kesihatan selama 10 tahun sebelum diserahkan kepada kerajaan Persekutuan. Memorandum ini, dengan beberapa pengubahsuaian, telah dimasukkan ke dalam Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri yang berkaitan. Perlindungan hak dan kepentingan inilah yang dikenali sebagai Perjanjian 20 Perkara untuk Sabah dan Perjanjian 18 Perkara untuk Sarawak.

20. Secara ringkas Perjanjian 20 Perkara untuk Borneo Utara adalah berkaitan dengan :

Agama

Bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa Inggeris

Perlembagaan yang merupakan suatu dokumen yang baru

Ketua Persekutuan

Nama Persekutuan

Kawalan imigresen oleh negeri

Hak pemisahan

Borneonisasi (Perkhidmatan Awam)

Kedudukan pegawai British

Kerakyatan

Cukai dan kewangan

Kedudukan dan hak istimewa untuk bumiputera

Kerajaan Negeri

Peraturan masa peralihan

Pendidikan

Perlindungan perlembagaan

Perwakilan di Parlimen Persekutuan

Nama Ketua Negeri

Nama Negeri dan

Tanah, hutan dan kerajaan tempatan, dan lain-lain

Dua perkara terakhir iaitu mengenai nama negeri dan tanah, hutan dan kerajaan tempatan, dan lain-lain tidak berada dalam Perjanjian 18 Perkara untuk Sarawak.

21. Perkara-perkara yang terkandung dalam Perjanjian 20/18 Perkara seharusnya disemak semula selepas 10 tahun. Tun Razak, yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menubuhkan jawatankuasa dalam tahun 1973 yang dipengerusikan oleh timbalannya, Tun Dr. Ismail, untuk mengkaji semula perjanjian IGC. Walau bagaimanapun, jawatankuasa tersebut tidak bersidang sama sekali dalam tahun itu kerana kebetulan Rang Undang-Undang Draf Akta Pembangunan Petroleum (PDA) sedang disediakan pada masa itu. Kebijaksanaan pada waktu itu adalah untuk mengutamakan penerimaan PDA oleh Sabah dan Sarawak. Apabila PDA mula dikuatkuasakan, saya ditugaskan oleh Tun Razak untuk mempastikan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri yang berkaitan menanda tangani perjanjian seperti keperluan dalam PDA. Pada kesempatan ini, Sabah dan Sarawak menzahirkan dengan tegas kedudukan mereka.

22. Apapun, Tun Dr Ismail meninggal dunia pada Ogos 1973 dan ini diikuti dengan kematian Tun Razak pada bulan Januari 1976, menyebabkan urusan penyemakan perjanjan IGC di- ketepikan buat sementara. Saya ingin tegaskan di sini bahawa semakan semula itu tidak berlaku dan niat Tun Razak sebenarnya mencerminkan niat baik kerajaan persekutuan dalam menjaga hubungan dengan Sabah dan Sarawak. Niat ini dibelakangkan memandangkan keperluan kepada perkara penting seperti yang saya nyatakan sebentar tadi. Mungkin saja semakan semula ini kita pertimbangkan lagi sekarang sempena meraikan ulang tahun ke 50 Malaysia.

23. Kisah Malaysia tidak akan lengkap jika saya tidak menyentuh mengenai reaksi yang signifikan daripada Indonesia dan Filipina mengenai penubuhan Malaysia. Indonesia telah menarik balik sokongan awal untuk konsep tersebut. Kerajaan Filipina juga membantah penubuhan Malaysia dan mengumumkan tuntutan terhadap Borneo Utara. Ini membawa kepada satu lagi pusingan penilaian pendapat umum, kali ini oleh PBB. Laporannya telah diumumkan pada 13 September, 1963. PBB mengesahkan bahawa rakyat Borneo Utara dan Sarawak telah secara bebas menyatakan hasrat mereka untuk penubuhan Malaysia. Mereka sedar bahawa ini akan mengubah status mereka. Laporan itu juga menyatakan bahawa hasrat ini telah “dinyatakan melalui proses demokrasi dengan pengetahuan yang cukup, dikendalikan secara bebas dan saksama dan berdasarkan hak mengundi sejagat.” Perjanjian Malaysia telah ditandatangani lebih awal iaitu pada 9 Julai, 1963, di Rumah Marlborough di London, dengan harapan Malaysia akan rasmi lahir pada 31 Ogos, 1963 . Walau bagaimana pun, hasrat ini tidak tercapai kerana peristiharan Malaysia hanya dibuat pada 16 September 1963 untuk menampung laporan PBB yang hanya siap dua hari lebih awal.

24. Saya telah memberi gambaran yang komprehensif tentang kewujudan Malaysia. Malangnya, ia tidak sepadan atau tidak tepat dengan apa yang telah dipersetujui pada asalnya. Kita boleh memberikan pelbagai penjelasan dan alasan untuk ini, tetapi saya dengan rendah hati berharap agar kita tidak memilih untuk berbuat demikian. Marilah kita sepakat membangkitkan keberanian untuk mengiktiraf dan mengakui bahawa kita mempunyai masalah. Sikap sedemikian adalah permulaan yang baik untuk proses penyelesaiannya.

25. Kita sedar dan harus terima hakikat bahawa maklumat berkaitan dengan penubuhan Malaysia dalam domain awam adalah tidak mencukupi atau tidak wujud sama sekali. Kekurangan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan ketegangan antara rakyat Malaysia di kedua-dua belah Laut China Selatan. Yang pasti, ketidakfahaman  (salah tanggap) ini bukanlah disengajakan tetapi disebabkan oleh kedaifan ilmu pengetahuan. Saya yakin bahawa kebanyakan perselisihan ini tidak lahir daripada niat jahat atau prasangka buruk. Kesilapan lazim yang menganggap bahawa Sabah dan Sarawak adalah dua negeri di Malaysia adalah contoh terbaik. Ia adalah satu kesilapan yang mengundang berang (kemarahan) rakyat Sabah dan Sarawak (terutama yang mengetahui sejarah) dan menghantui mereka. Kita mesti memperbetulkan salah faham ini, dan sebagai permulaan, kita harus menyediakan fakta yang tepat mengenai penubuhan Malaysia. Untuk memberikan kefahaman secara menyeluruh, bahagian sejarah yang penting ini patut dimasukkan dalam kurikulum sekolah kita.

26. Baru-baru ini kenyataan akhbar yang dibuat oleh salah seorang Menteri Kerajaan Negeri Sabah membuktikan bahawa kedangkalan pengetahuan ini wujud di setiap lapisan masyarakat. Dalam konteks ini, ianya lebih parah kerana yang membangkitkan kemarahan Menteri tersebut adalah pemimpin dari Semenanjung yang telah bercakap tanpa pengetahuan yang cukup sehingga menyentuh sensitiviti dan integriti masyarakat di Sabah dan Sarawak.

27. Perlu kita jelaskan, bahawa 31 Ogos adalah tidak signifikan kepada Sabah dan Sarawak, sebesar manapun sambutannya. Ia hanyalah tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Sebaliknya, 16 September – Hari Malaysia – adalah lebih penting dan seharusnya menjadi salah satu hari besar dalam sejarah Malaysia. Oleh yang demikian, hari tersebut perlu diraikan sebagai perayaan utama dalam kalendar peristiwa negara kita.

28. Saya juga ingin menjelaskan bahawa Perjanjian 20 Perkara dan 18 Perkara telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun demikian, adalah tidak wajar untuk kita mengatakan bahawa kedua-dua Perjanjian ini tidak lagi wujud ataupun relevan. Pemikiran sebegini tidak konsisten dan menyentuh perkara yang sensitive yang boleh menggugat keharmonian semua. Apa pun, Batu Sumpah Keningau akan berdiri selama-lamanya sebagai monumen kepada semangat Perjanjian 20 Perkara.

29. Pertanyaan seterusnya adalah apakah langkah kita selanjutnya? Bagaimanakah cara dan kaedah untuk kita menangani kemelut ini?  Seperti yang saya sebut di awal ucapan saya, soalan-soalan ini paling tepat dijawab oleh golongan yang berkuasa dan memegang tampuk pemerintahan negara. Saya fikir, mereka bertanggungjawab untuk mengambil sikap dan memulakan proses perbaikan ini. Kita perlu membuktikan bahawa kata-kata sinis yang menganggap bahawa penubuhan Malaysia hanyalah merupakan peralihan kuasa dari British kepada Tanah Melayu adalah tidak benar. Kita juga harus membuktikan bahawa amaran yang dizahirkan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold juga tidak berasas. Kita mesti melakukan semua ini dan mengukuhkan penubuhan dan perkembangan Malaysia yang bersatu, makmur dan harmonis.

30. Malaysia yang seperti ini akan mempastikan pertumbuhan, perkembangan dan kestabilan tanah air yang kita cintai. Pertumbuhan dan kestabilan ini juga akan memberikan manfaat kepada rantau kita ini yang berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan. Malaysia yang bersatu, makmur dan harmonis akan pasti dihormati dan dikagumi oleh masyarakat antarabangsa. Memandangkan ketidaktentuan politik di Sabah, Malaysia yang bersatu dan aman serta yakin dengan kedudukannya di kacamata masyarakat antarabangsa, akan dapat memainkan peranan yang penting dan membantu menyelesaikan masalah yang rumit dan mengancam rantau ini. Sebagai contoh, Malaysia boleh memyuarakan pendapat dan menenangkan keadaan dalam usaha untuk mengatasi tuntutan bertindih oleh pelbagai negara terhadap Kepulauan Spratlys.

31. Suka saya mengingatkan bahawa keperitan, ketegangan dan kesengsaraan di kalangan masyarakat akan cenderung untuk lebih parah pada masa-masa kesulitan ekonomi. Memandangkan masih terdapat kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak, terutamanya di kawasan pedalaman, yang diklasifikasikan sebagai miskin dengan taraf hidup yang jauh di bawah berbanding dengan penduduk bandar, maka tidak hairanlah jika perasaan tidak puas hati terhadap masyarakat di Semenanjung dirasakan. Gambaran bahawa Lembah Kelang menikmati kekayaan yang jauh lebih tinggi (secara benar atau tidak) berbanding kedua-dua wilayah di Malaysia Timur ini adalah tidak membantu sama sekali. Keadaan tersebut seperti kenaikan harga petrol baru-baru ini juga memburukkan lagi keadaan bilamana kos tambahan kedua-dua, barang dan perkhidmatan di bebankan kepada pengguna. Ini akan meningkatkan lagi masalah kewangan yang dialami oleh golongan miskin di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, kerajaan perlu serius memikirkan cara-cara untuk mengatasi masalah ini. Saya fikir sudah tiba masanya untuk kerajaan menyerap peningkatan kos ini dan meringankan beban masyarakat. Seandainya ini ditangani dengan betul, saya yakin proses untuk mengurangkan persepsi negatif terhadap Kuala Lumpur yang menghantui pemikiran masyarakat di Sabah dan Sarawak akan berjaya.

Terima kasih.

 

Ucapan oleh Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah

Presiden Angkatan Amanah Merdeka Malaysia (AMANAH)

Di Majlis Forum anjuran Angkatan AMANAH Merdeka Malaysia Cawangan Sabah

pada hari Jumaat, 29.11.13 jam 3.00 ptg

Bertempat di Sekolah Menengah Kian Kok, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu

http://tengkurazaleighhamzah.com/index.php?option=com_content&view=article&id=334:cerita-mengenai-penubuhan-malaysia&catid=50:blog&Itemid=131

Advertisements

About dusunbukit

You've got your truth, I've got my truth. We can't be both wrong. The real challenge is to discern the difference. Pardon me if I offend you, but I'm going to put my words bluntly. So, lets rumble..
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s